



Yang buruk itu datang dari kelemahan saya, yang baik itu datang dari Allah S.W.T..
"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.
Tiada terfikir,Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.
Bunga kembang bertali hati,Bunga kembang di puncak akli"
Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.
Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.
Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!
Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.
Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!
Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?
Oleh kerana itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan dimana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.
Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.
Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.
Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?
Dan pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.
Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala diluar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.
Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.
Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.
Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah SWT. Tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.
Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah SWT.
Sumber imej: google image..
"Ya Allah, aku tidak mampu."
Ada kalanya inilah antara bait-bait kata yang akan terungkap di bibir kita tatkala diuji oleh ujian-NYA.
Sahabatku, di kala hatimu mendung bagaikan awan yang berat dengan titisan-titisan air, yakinlah ada cahaya mentari yang akan menyinari hidupmu selepas itu kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Seringkali kita terlupa untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang menimpa kita kerana kita terlalu fikirkan kesedihan di hati.
Di mana Allah di hati kita tatkala kesedihan itu bermaharajalela? Adakah kita masih ego untuk menadah tangan kepada-Nya terutamanya di sepertiga malam memohon dan bermunajat kepada-NYA?
Sahabat.. indahnya aturan Allah itu tidak dapat dinilai oleh mata hati yang leka dengan kehidupan dunia.
Di saat kita terleka, Allah turunkan ujian tanda sayangnya Allah kepada kita kerana hanya dengan ujian hati kita akan lebih terarah kepada mengingati Allah dan bermunajat kepada-NYA.
Bukankah Allah sudah berfirman dalam surah Ar Ra'd : Ayat 28 :
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."[QS. 13:28]
Teruskanlah keyakinan kita dengan indahnya aturan Allah tetapkan kepada kita.
Dengan sifat redha dan bersabar serta berusaha untuk membaiki keadaan ke arah yang lebih baik adalah kata kunci kepada kehidupan yang diredhai Allah. Keyakinan terhadap indahnya aturan yang Allah tetapkan adalah keyakinan yang mampu membuatkan semangat kita tidak pernah luntur.
Yakinlah sahabat, Allah menyayangimu. Allah merindui ratapanmu kepada-NYA di setiap sujudmu. Allah merindui munajatmu terhadap-Nya di sepertiga malam di kala semua orang sedang nyenyak tidur.
Buatmu sahabat, Allah menyayangi dan mendengar setiap bait doa-doa kita.
Ikhlaskan diri dengan sentiasa berdoa kepada-Nya. Luahkanlah segala isi hatimu kepada-NYA.
Yakinlah, tiada apa yang perlu diragukan dan bertawakallah kepada-Nya, kepada Tuhan yang menciptakan dirimu, diri kita dan juga sekalian alam ini.
Yakinlah, indahnya tawakal kepada-Nya dan halawatul Iman itu akan dapat dirasai oleh orang yang melihat dengan mata hatinya.
Indahnya aturan-MU ya Allah.
Kedah |